Sehari Sepotong Hadith: Ke-36 - Hubungan dan Tanggung Jawab Sesama Muslim.
- assobirin
- Apr 19, 2016
- 2 min read
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِما سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ، وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ فِيمَا بَيْنَهُمْ؛ إلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ، وَ حَفَّتهُمُ المَلاَئِكَة، وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ أَبَطْأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Daripada Abu Hurairah radhiAllahu anhu, daripada Nabi sollAllahu alaihi wasallam, yang bersabda:
"Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin suatu kesempitan daripada kesempitan dunia, nescaya Allah akan melapangkan dirinya dari suatu kesempitan daripada kesempitan di hari kiamat.
Dan barangsiapa yang meringankan penderitaan seorang yang susah, nescaya Allah akan meringankan penderitaan dirinya di dunia dan di akhirat.
Barangsiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di akhirat. Dan Allah selalu menolong hambaNya, selagi hambaNya berusaha menolong saudaranya.
Barangsiapa yang menuju suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan memudahkan suatu jalan baginya ke syurga. Dan tidak berhimpun suatu kelompok manusia dalam suatu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid), mereka membaca Kitabullah dan mempelajarainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas perhimpunan mereka ketenteraman, diliputi oleh rahmat, di kelilingi oleh para Malaikat dan disebut Allah kepada sesiapa yang berada di sisiNya.
Sesiapa yang dilengahkan oleh amalannya (kurang amalan), maka tidak akan dipercepatkan oleh keturunannya." [Muslim]

Hadith ke-36 ini menerangkan tentang hubungan sesama muslim. Di awal hadith, Nabi Muhammad sollAllahu alaihi wasallam menerangkan bahawa selagi mana kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita di dunia dan juga akhirat. Begitu juga bila kita menutup keaiban orang lain (tidak mengumpat, mengadu domba, menyebar fitnah dan sebagainya), Allah akan menutup keaiban kita di akhirat. Di padang mahsyar kelak, setiap detik kehidupan kita akan dipertontonkan di layar mahsyar Allah subhanahu wa ta'ala. Setiap perilaku kita, baik atau buruk, cantik atau hodoh, terpuji atau terkeji, semuanya akan disaksi oleh segenap manusia dari Nabi Adam alaihi salam sehingga manusia terakhir yang hidup di atas muka bumi ini. Di saat itulah hanya rahmat dan syafaat Allah subhanahu wa ta'ala yang dapat menyelamatkan kita dari ditayangkan keaiban kita. Oleh itu, hendaklah kita berusaha dari sekarang dengan tidak membuka aib orang lain hanya utuk kepuasan nafsu kita yang sementara ini.
Di pertengahan hadith, Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam memberitahu kita bahawa setiap insan yang menuju ke majlis ilmu, akan dipermudahkan langkahnya ke syurga. Dan apabila sekumpulan manusia berkumpul di masjid untuk menuntut ilmu, mereka semua akan dipayungi oleh rahmat Allah dan himpunan malaikat akan mengelilingi mereka untuk mendoakan kebaikan kepada mereka.
Akhir sekali di hujung hadith, barang siapa yang kurang amalan kebaikannya di dunia ini, adalah mustahil untuk digantikan oleh anak cucunya. Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan amalan kita di dunia yang sementara ini sebagai persiap kita di akhirat kelak.
Wallahu a'lam. Wassalam.
Comments