Sehari Sepotong Hadith: Ke-33 - Bukti dan Saksi dalam Setiap Dakwaan.
- assobirin
- Apr 16, 2016
- 1 min read
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ
Daripada Ibnu Abbas radhiAllahu anhu bahawa Nabi sollAllahu alaihi wasallam pernah bersabda:
"Sekiranya dilayankan setiap orang dengan dakwaannya, nescaya ada orang yang menuntut harta benda orang lain dan ada pula yang menuntut darahnya. Akan tetapi yang mendakwa itu harus membawakan saksi, manakala yang tertuduh harus bersumpah." [Baihaqi]

Hadith ke-33 ini adalah dasar penting dalam hukum syariah dan kehakiman Islam. Setiap hakim dalam Islam hendaklah memutuskan sesuatu perkara dengan adil dan saksama berdasarkan saksi dan bukti yang dibentangkan serta mengambil kira sumpah dari yang tertuduh. Di dalam undang-undang Islam, saksi dan bukti adalah tanggung jawab yang perlu disampaikan oleh pendakwa, bukannya yang tertuduh. Oleh itu, setiap kali seseorang ingin membuat sebarang dakwaan, adalah menjadi kewajipan baginya untuk menghadirkan beberapa orang saksi (bergantung kepada dakwaan) dan bukti-bukti yang kukuh.
Malahan di dalam undang-undang Islam, wujudnya hal Qazaf iaitu menuduh zina tanpa cukup empat orang saksi. Islam memandang berat perkara ini sehinggakan yang menuduh boleh dikenakan sebatan sehingga 80 kali. Malahan menurut undang-undang Ta'zir, hukum Qazaf ini boleh diguna pakai untuk tuduhan-tuduhan lain (mencuri, meminum arak, murtad dan sebagainya) yang dihadirkan tanpa saksi. Perkara saksi dan bukti ini adalah amat penting di sisi Islam untuk menjaga kehormatan seseorang daripada dituduh fitnah. Ini kerana di Islam bukan nya agama yang menhukum tetapi lebih kepada mendidik. Malah di dalam sistem kehakiman Islam, adalah lebih baik melepaskan seorang yang bersalah (tanpa bukti yang kukuh) daripada menghukum seorang yang tidak bersalah.
Wallahu a'lam. Wassalam
Comments