Sehari Sepotong Hadith: Ke-26 - Sedekah untuk Diri Sendiri.
- assobirin
- Apr 9, 2016
- 2 min read
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Hadith ke-26 ini menceritakan tentang kepentingan sedekah bagi setiap diri manusia. Hadith ini menerangkan bahawa kita hendaklah menunaikan sedekah bagi setiap anggota badan kita, atau erti kata lainnya, setiap tulang dan sendi kita, pada setiap hari.
Walaupun nampak susah dan payah, tetapi Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam menerangkan cara-cara untuk bersedekah untuk anggota badan kita, selain dengan wang tunai atau harta kita. Antaranya ialah mendamaikan sesama manusia, membantu seseorang menaiki tunggangan atau mengangkat barangannya. Malahan tiap-tiap perkataan yang baik juga dikira sebagai sedekah. Dengan erti kata lain, setiap apa perlakuan kita yang memberi manfaat kepada manusia atau makhluk Allah subhanahu wa ta'ala yang lain dikira sebagai sedekah. Di dalam hadith yang lain, Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam ada menyebut, serendah-rendah sedekah adalah senyuman. Tetapi janganlah kita hanya menyedekahkan senyuman jika ada orang meminta bantuan sedangkan di dalam poket penuh dengan duit RM 100. Di dalam hadith yang lain, Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam ada menyebut, jika kita tidak mampu untuk bersedekah pada hari itu, cukuplah dengan kita menunaikan solat sunat Dhuha. Wallahu a'lam.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "كُلُّ سُلَامَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ، كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ تَعْدِلُ بَيْنَ اثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ، وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيهَا إلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ، وَتُمِيطُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ
Daripada Abu Hurairah radhiAllahu anhu: Bahawa Nabi sollAllahu alaihi wasallam telah bersabda:
"Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong seseorang menaiki tunggangannya atau pun engkau menolong mengangkat barang-barangnya ke atas tunggangan adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat solat adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga adalah sedekah. " [Bukhari & Muslim]
Wallahu a'lam. Wassalam.
Comentarios