Sehari Sepotong Hadith: Ke-25 - Luasnya Rahmat Allah.
- assobirin
- Apr 8, 2016
- 2 min read
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Hadith ke-25 ini menerangkan tentang betapa luasnya rahmat Allah subhanau wa ta'ala kepada hamba-hambaNya. Diceritakan di dalam hadith Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam ini bahawa setiap amal kebaikan yang kita kerjakan ialah seumpama sebuah sedekah, yakni mendapat pahala daripada Allah subhanahu wa ta'ala. Hatta, bersetubuh dengan isteri sendiri juga mendapat pahala di sisi Allah subhanahu wa ta'ala.
Betapa luasnya rahmat Allah subhanahu wa ta'ala sehinggakan setiap zikir atau yang wirid yang kita ucapkan (tasbih, takbir, tahmid, tahlil dsb.) dikira sebagai sedekah di sisi Allah subhanahu wa ta'ala. Ini membuktikan bahawa Allah memang mahukan hamba-hambaNya untuk beramal soleh dan masuh ke syurgaNya. Ini juga menunjukkan rahmat Allah adalah jauh lebih besar daripada murkaNya. Seperti yang kita semua sedia maklum, setiap amal kebajikan, Allah akan gandakan sebanyak 10 kali ganda atau lebih lagi. Tetapi setiap amal kejahatan, Allah hanya mengira sebagai satu sahaja. Allahu akbar. Wallahu a'lam.

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا، "أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالُوا لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالْأُجُورِ؛ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ: أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ؟ إنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً، وَأَمْرٌ بِمَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ، وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلَالِ، كَانَ لَهُ أَجْرٌ
Daripada Abu Dzar Al-Ghafiri radhiAllahu anhu jua, bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam, bertanya kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah lebih banyak mendapat pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah pula dengan harta kekayaan mereka yang lebih itu."
Bersabda Nabi sollAllahu alaihi wasallam: "Bukankah Tuhan telah menunjukkan kamu cara-cara bagaimana kamu boleh bersedekah? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah, dan tiap-tiap tahmid itu sedekah dan pada tiap-tiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh berbuat kebaikan itu sedekah dan melarang membuat kejahatan itu sedekah, dan persetubuhan seseorang dengan isteri juga adalah sedekah."
Bertanya para sahabat: "Ya Rasulullah! Adakah seseorang kami yang memuaskan syahwat dengan isterinya mendapat pahala juga?"
Bersabda Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam: "Apakah pendapat kamu sekiranya seseorang itu melepaskan syahwatnya pada yang haram, adakah dosa atasnya? Demikianlah pula, jika ia melepaskan syahwatnya pada yang halal, adalah baginya pahala." [Muslim]
Wallahu a'lam. Wassalam.
Comments