Sehari Sepotong Hadith: Ke-24 - Larangan Berbuat Zalim
- assobirin
- Apr 7, 2016
- 3 min read
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Hadith ke-24 yang panjang lebar ini ialah sebuah hadith qudsi. Hadith Qudsi ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sollAllahu alaihi wasallam sebagai wahyu dan dilafazkan oleh Nabi Muhammad sollAllahu alaihi wasallam menggunakan ayat baginda sendiri tanpa mengubah makna dan isinya. Ini berbeza dengan ayat Al-Quran yang mana ayat Al-Quran adalah 100% kalam Allah subhanahu wa ta'ala.
Di dalam hadith ini, Allah subhanahu wa ta'ala menyampaikan kepada kita beberapa perkara. Di antaranya ialah amaran jangan berlaku zalim, kepada Allah dan juga sesama manusia. Kedua, berkenaan dengan hidayah Allah subhanahu wa ta'ala. Kemudian Allah menegaskan bahawa semua rezeki dan nikmat adalah milik dan kurniaan Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu hendaklah kita sentiasa memohon kepadaNya.
Selain itu, Allah subhanahu wa ta'ala juga menegaskan bahawa setiap manusia sentiasa melakukan dosa dan mengarahkan kita selalu memohon ambun daripadaNya. Kemudian Allah menegaskan bahawa Allah maha besar dan luas kerajaanNya, walau macam mana sekalipun, kita tidak akan mampu untuk memudaratkan atau memanfaatkan ke atasNya. Dan akhir sekali, Allah memberitahu bahawa setiap amalan yang kita lakukan telah dan akan dicatit dan akan dibalas di akhirat kelak. Wallahu a'lam.

عَنْ أَبِي ذَرٍّ الْغِفَارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم فِيمَا يَرْوِيهِ عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى، أَنَّهُ قَالَ: "يَا عِبَادِي: إنِّي حَرَّمْت الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْته بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا؛ فَلَا تَظَالَمُوا. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ ضَالٌّ إلَّا مَنْ هَدَيْته، فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ جَائِعٌ إلَّا مَنْ أَطْعَمْته، فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ عَارٍ إلَّا مَنْ كَسَوْته، فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ. يَا عِبَادِي! إنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا؛ فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ. يَا عِبَادِي! إنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّونِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ، فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْت كُلَّ وَاحِدٍ مَسْأَلَته، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ. يَا عِبَادِي! إنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ، ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إيَّاهَا؛ فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَن إلَّا نَفْسَهُ
Daripada Abu Dzar Al-Ghafiri radhiAllahu anhu, daripada Nabi sollAllahu alaihi wasallam yang meriwayatkan daripada Tuhannya Allah Azzawajalla, bahawasanya Tuhannya telah berkata:
"Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku telah mengharamkan penganiayaan atas diriKu, dan Aku jadikan haram di antara sesama kamu, maka janganlah kamu aniaya-menganiayai.
Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian sesat, kecuali siapa yang telah Aku berikan hidayah kepadanya. Maka hendaklah kamu minta hidayah daripadaKu, nescaya Aku akan memberi hidayah itu kepadamu.
Wahai hamba-hambaku! Sekalian kamu lapar kecuali siapa yang telah Aku berikan makanan kepadanya, maka hendaklah kamu sekalian meminta makan daripadaKu, nescaya Aku akan beri kamu makan.
Wahai hamba-hambaku! Sekalian kamu bertelanjangan, kecuali sesiapa yang aku berikan pakaian, maka mintalah pakaian daripadaKu.
Wahai hamba-hambaku! Sekalian kamu membuat kesalahan pada waktu malam dan siang dan Akulah sahaja yang mengampunkan segala dosa. Maka mintalah keampunan daripadaKu, nescaya Aku akan mengampunkan segala dosa-dosa kamu.
Wahai hamba-hambaku! Kamu sekalian tidak mampu merancang sesuatu mudarat untuk memudaratkan Aku, dan kamu tidak mampu merancang sesuatu manfaat untuk memanfaatkan Aku.
Wahai hamba-hambaku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin, semuanya bertaqwa seperti taqwanya hati seorang manusia di antara kamu, nescaya yang demikian itu tidak akan menambahkan barang sedikit pun pada kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin, semuanya berhati jahat seperti jahatnya hati seorang manusia di antara kamu, nescaya yang demikian itu tidak akan mengurangkan barang yang sedikit pun pada kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin, semuanya berkumpul pada sebuah tanah lapang lalu masing-masing meminta padaKu, nescaya Aku akan memperkenankan kepada tiap-tiap seorang itu akan permintaannya, nescaya yang demikian tidak akan mengurangkan sedikit pun dari apa yang Aku miliki, melainkan seperti terkurangnya sebatang jarum yang jatuh ke dalam laut.
Wahai hamba-hambaku! Sebenarnya semua itu adalah amalan-amalan kamu yang Aku catitkan bagi kamu sekelian, kelak di kemudian hari akan Aku balas atas tiap-tiap satu daripadanya. Oleh itu, barangsiapa menerima kebaikan hendaklah ia memuji Allah dan barangsiapa yang menerima sebaliknya janganlah ia mencela kecuali dirinya sendiri." [Muslim]
Wallahu a'lam. Wassalam.
Comments