Sehari Sepotong Hadith: Ke-23 - Kesucian Sebahagian daripada Iman.
- assobirin
- Apr 6, 2016
- 1 min read
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Hadith ke-23 ini agak panjang dan penuh dengan isi dan makna yang mendalam. Antaranya mengupas tentang kepentingan kebersihan dan kesucian di dalam Islam. Kebersihan dan kesucian adalah amat penting dalam Islam sehinggakan boleh dikatakan semua kitab-kitab Feqah karangan dan susunan alim ulama' yang muktabar di seluruh dunia akan memulakan kitab-kitab mereka dengan topik 'Toharah' atau Bersuci. Ini adalah kerana hampir kesemua ibadah di dalam Islam meletakkan suci sebagai syarat utama dalam menentuka sah atau batal ibadah tersebut.
Hadith ini juga merungkaikan tentang kepentingan bertasbih dan bertahmid. Ini juga disokong oleh hadith yang ke-25 nanti bahawa setiap tasbih dan tahmid itu ialah sedekah. Selain itu, Nabi sollAllahu alaihi wasallam juga menerangkan tentang kepentingan solat, sedekah dan sabar serta Al-Quran sebagai dalil dan hujah dalam kehidupan kita. Waalahu a'lam.

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "الطَّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآنِ -أَوْ: تَمْلَأُ- مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ، وَالصَّلَاةُ نُورٌ، وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ، وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ، وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَك أَوْ عَلَيْك، كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو، فَبَائِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا
Daripada Abu Malik Al-Harith bin 'Asim Al-Ash'ari radhiAllahu anhu, katanya: Telah bersabda Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam:
"Suci itu sebahagian daripada iman, dan Alhamdullilah memenuhi timbangan, dan Subhanallah Wal-Hamdullilah pula akan memenuhi ruang antara langit dan bumi. Dan solat itu cahaya, dan sedekah itu bukti keterangan, dan sabar itu sinaran dan Al-Quran itu dalil bagimu atau atasmu. Setiap manusia berusaha, ada yang menjual dirinya, ada yang memeliharanya dan ada yang membinasakannya." [Muslim]
Wallahu a'lam. Wassalam.
Comments