top of page

Sehari Sepotong Hadith: Ke-22 - Jalan Menuju ke Syurga.

  • Writer: assobirin
    assobirin
  • Apr 5, 2016
  • 2 min read

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Hadith ini menceritakan bagaimana seorang sahabat Nabi sollAllahu alaihi wasallam bertanya kepada baginda tentang perihal layakkah beliau untuk masuk ke syurga Allah subhanahu wa ta'ala. Berdasarkan hadith ini, setiap muslim itu apabila melakukan ketaatan kepada Allah subhanahu wa ta'ala dengan menunaikan solat fardhu, berpuasa sebulan Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram (atau erti kata lain, melakukakn yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang), maka layaklah baginya untuk memasuki syurga Allah subhanahu wa ta'ala.


Walaupun nampak mudah seperti yang digambarkan di dalam hadith ini, namun masih ramai umat Islam yang kecundang dengan perangkap syaitan, nafsu dan dunia sehingga terjerumus ke lembah neraka. Oleh itu, hendaklah kita selalu dan beristiqamah bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta'ala supaya diampunkan segala dosa-dosa kita. Ini kerana kita adalah hamba Allah yang lemah dan tidak akan lari dari kesalahan dan kesilapan. Sedangkan Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam yang maksum pun bertaubat kepada Allah sekurang-kurangnya 70 kali sehari (ada riwayat mengatakan 100 kali sehari), apatah lagi kita manusia biasa yang serba kekurangan ini. Wallahu a'lam.


عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: "أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم فَقَالَ: أَرَأَيْت إذَا صَلَّيْت الْمَكْتُوبَاتِ، وَصُمْت رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْت الْحَلَالَ، وَحَرَّمْت الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا؛ أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ


Daripada Abu Abdullah, Jabir bin Abdullah Al-Anshari radhiAllahu anhuma, bahawasanya telah bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam:

"Apa pendapatmu jika saya menunaikan semua solat fardhu, dan aku berpuasa sebulan Ramadhan, dan aku halalkan yang halal dan aku haramkan yang haram, dan aku tidak menambahkan suatu apa pun atas demikian itu, adakah aku masuk syurga?" Jawab Rasulullah sollAllahu alaihi wasallam: "Ya." [Muslim]


Wallahu a'lam. Wassalam.


 
 
 

Comentarios


    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

© 2016 As-Sobirin

bottom of page