Sehari Sepotong Hadith: Hadith Ke-4 - Fasa Penciptaan Manusia dan Amalan Terakhirnya.
- assobirin
- Mar 18, 2016
- 2 min read
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Hadith ke-4 ini membicarakan tentang fasa penciptaan manusia ketika dalam rahim ibu. Hadith ini turut menerangkan saat malaikat meniupkan roh ke dalam jasad manusia di dalam rahim ibu dan ditetapkan juga 4 perkara yang telah termaktub untuk setiap anak Adam. Di akhir hadith, Nabi Muhammad sollAllahu alaihi wassalam menerangkan tentang bagaimana pengakhiran seorang insan itu menentukan balasannya di akhirat nanti. Mari sama-sama kita membaca hadith ke-4 ini yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah dan Imam Muslim rahimahullah serta disusun oleh Imam Nawawi rahimahullah dalam Matan Arba'in (Himpunan Hadith 40).

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم -وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ-: "إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٍّ أَمْ سَعِيدٍ؛ فَوَاَللَّهِ الَّذِي لَا إلَهَ غَيْرُهُ إنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud radhiAllahu anhu berkata:
Rasulullah sollAllahu alaihi wassalam telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya:
"Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama (40 hari), kemudian seketul daging selama tempoh yang sama (40 hari). Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara: rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang daripada kamu yang beramal (secara tetap) dengan amalan ahli syurga sehingga jarak di antaranya dengan syurga cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang daripada kamu yang beramal (secara tetap) dengan amalan ahli neraka sehinggalah jarak di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu." [Bukhari & Muslim]
Wallahu a'lam.
Comments